SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan FA QF | Negeri Sembilan FC 1-3 Selangor FC | Separuh Akhir Kami Datang!

May 28, 2023 - FAS

Selangor FC layak ke pusingan Separuh Akhir saingan Piala FA 2023 selepas menewaskan Negeri Sembilan FC   di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan keputusan perlawanan 3-1.

Pasukan Negeri Sembilan FC terlebih dahulu membuka jaringan, dengan tandukan masuk daripada Safuwan Baharuddi pada minit pertama perlawanan, kemudian kapten pasukan Selangor, Mukhairi Ajmal menyamakan kedudukan pada minit ketiga aksi #NSESEL. Dua jaringan Gergasi Merah telah dijaringkan oleh pemain import baharu, Yohandry Orozco pada minit ke-60 dan 78, melayakan Selangor FC ke pusingan Separuh Akhir Piala FA 2023.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, puji semangat juang anak buahnya.

"Satu perlawanan yang agak sengit untuk kita kerana dibolosi gol pada minit pertama, sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pasukan. Tetapi mentaliti yang ditunjukan oleh setiap pemain di babak yang kedua cukup baik.

Perkara positif pada perlawanan semalam merupakan kecepatan pasukan bangun semula daripada dibolosi dan dua minit selepas itu kita dapat menyamakan kedudukan. Pujian harus diberikan kepada para pemain kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi, akhirnya melayakan pasukan ke pusingan seterusnya," jelas Tan Cheng Hoe

Daripada perlawanan #NSESEL dalam siangan Piala FA semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Perlawanan cemerlang Yohandry Orozco 

Pemain import baharu Selangor FC, Orozco telah menjaringkan dua penting bagi menempatkan pasukan ke pusingan Separuh Akhir Piala FA 2023. Orozco akhirnya berjaya membuka akaun jaringan dalam perlawanan Piala FA setelah mengalami rintangan kecil pada awal liga. Beliau menunjukkan peningkatan yang sangat baik dari perlawanan ke perlawanan. Setakat ini, Orozco telah menjaringkan dua gol dan tiga ‘assist’ untuk skuad Gergasi Merah.

Midfielder Gergasi Merah menunjukkan ‘Chemistry’ yang baik

Gandingan tengah Noor Al-rawabdeh, Yohandry Orozco dan Mukhairi ini telah beraksi dengan cemerlang di bahagian tengah Selangor FC dalam memulakan serangan. Begitu juga pada separuh masa kedua dengan kemasukan Haiqal Lau, walaupun beberapa pertukaran taktikal berlaku bagi melancarkan corak perlawanan #NSESEL.

Perlawanan terakhir Norhakim Hassan

Berita yang agak menyedihkan di kem Gergasi Merah, #NSESEL merupakan perlawanan terkakhir Norhakim Hassan bersama Selangor FC. Beliau merupakan seorang pemain yang membawa keceriaan dalam pasukan dengan lawak dan usikan bersama rakan sepasukan serta seorang pemain senior yang sentiasa memberi nasihat-nasihat baik kepada pemain muda. Beliau layak digelar SuperSub dalam pasukan kerana setiap kali beliau dimasukan pada separuh masa kedua, impak yang diberikan sangat tinggi. Tiga musim setengah bersama Selangor FC, Norhakim Hassan telah menjaringkan enam gol serta tiga ‘assist’ dalam 59 perlawanan. Terima kasih Hakim! Jasamu kami kenang selalu. Semoga berjaya bersama pasukan baharu.

Pihak pengurusan berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh pasukan namun banyak yang boleh diperbaiki menjelang Separuh Akhir Piala FA 2023. Semoga Selangor FC terus komited dalam perlawanan-perlawanan seterusnya sehingga tamat Liga Malaysia 2023. Ayuh, Gergasi Merah!

Selangor FC juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang telah #AwayDay ke stadium semalam memberi sokongan padu kepada pasukan sehingga tamat perlawanan.

Demi Kebanggaan!